Friday 29 April 2016

KEBAIKAN ULAM-ULAMAN TRADISIONAL SEBAGAI MAKANAN TAMBAHAN SEMULAJADI PADA MANUSIA

Ulam adalah tumbuhan yang dimakan secara terus dan mungkin sesetengah ulam dicelur sebelum dimakan tanpa melalui pelbagai proses memasak yang lama. Tumbuh-tumbuhan ini membiak liar di kawasan yang tidak mempunyai saliran yang baik seperti parit, semak samun dan di dalam hutan. Ulam-ulaman mempunyai pelbagai khasiat setanding dengan ubat-ubatan kimia, tidak memberikan kesan sampingan pada manusia malah meningkatkan fungsi sistem badan.

Antara contoh kebaikan yang ada pada ulam-ulaman yang tidak diketahui oleh masyarakat umum ialah khasiatnya yang asli. Manusia kehilangan nutrien dalam makanan apabila sayur-sayuran yang dimasak dalam satu tempoh yang lama. Bagi menggantikan khasiat yang hilang, pengambilan ulam-ulaman seperti terung atau timun sebagai makanan tambahan amat perlu apabila sayuran ini mampu membantu pencernaan makanan. Sebagai contoh, pengambilan timun sebagai makanan tambahan turut mampu menaikkan selera makan kerana rasa yang rangup.

Disamping itu, ulam-ulaman turut mampu menyembuhkan penyakit yang kronik. Hal ini kerana setiap ulaman mempunyai fungsi yang berbeza dalam faktor kesihatan. Ulam yang tumbuh melata seperti daun pegaga mampu menjadi penawar kepada masalah darah rendah dan awet muda. Ulam yang popular dalam kalangan masyarakat seperti petai tumbuh di atas pokok, mengandungi nutrient seperti kalsium dan zat besi, mampu merawat penyakit jantung dan masalah buah pinggang.

Ulam-ulaman merupakan makanan tambahan yang murah serta tidak memerlukan penjagaan yang rumit. Ulam-ulaman turut dapat menjimatkan kos dan menggantikan ayam serta daging yang semakin mahal. Ulaman seperti petai dan terung boleh dimasukkan dalam masakan disamping khasiatnya yang tinggi, sekaligus memenuhi citarasa dan ekonomi semasa.


Kesimpulannya, makanan tambahan seperti ulam-ulaman mempunyai khasiat yang asli berbanding makanan tambahan berbentuk pil dan kapsul, mempunyai fungsi dalam menyembuhkan penyakit yang kronik disamping murah dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi.

Wednesday 27 April 2016

ISU MORFOLOGI DALAM PENGGUNAAN PAPAN TANDA PERNIAGAAN

Perkembangan ekonomi telah merancakkan kewujudan pelbagai jenis perniagaan, dari sektor perkhidmatan, perladangan, kesihatan dan makanan. Dalam kerancakan dan pertumbuhan perniagaan-perniagaan yang semakin rancak kini, aktiviti promosi juga semakin berkembang seiring dengan perniagaan yang dijalankan. Papan-papan tanda diletakkan dihadapan premis-premis perniagaan sebagai identiti kepada sesebuah perniagaan untuk masyarakat mengetahui kewujudan perniagaan tersebut. Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada penggunaan bahasa pada papan-papan tanda perniagaan, sekaligus selari dengan salah satu dasar bahasa kebangsaan antara fungsi bahasa Melayu dalam komunikasi dalam bentuk iklan, nama, pengumuman dalam media cetak dan elektronik. Namun, kesalahan komunikasi dalam penggunaan bahasa atau morfologi dalam papan tanda perniagaan dilihat semakin membimbangkan dan menjejaskan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Antara faktor berlaku kepincangan komunikasi dalam morfologi di papan-papan tanda perniagaan adalah disebabkan pelbagai ragam bahasa yang digunakan menurut konteks tertentu oleh pengguna tertentu disebabkan pengaruh seperti pendidikan, pekerjaan, kelas sosial dan umur. Istilah penggunaan bahasa yang betul dan bahasa yang salah bergantung kepada pengguna yang terikut-ikut dengan dialek bahasa penutur Bahasa Melayu. Sebagai contoh, penggunaan frasa ayat yang terbalik seperti "24 Jam Klinik Ah Chong " dan tidak mengutamakan bahasa kebangsaan dalam papan kenyataan seperti " Nyanyang Medicine and Trading ".

Pencemaran bahasa turut berlaku apabila tiada tapisan dalam memastikan penggunaan dan penguatkuasaan Bahasa Melayu selari dengan perlembagaan Malaysia. Bahasa yang digunakan dalam iklan-iklan media elektronik dan sosial adalah bahasa pasar dan mencemarkan kewibawaan Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa yang ringkas, bahasa rojak dengan alasan memudahkan komunikasi antara sumber dan penerima dalam linkungan luas di televisyen dan radio, mempengaruhi masyarakat untuk menutur bahasa tidak formal dan menggunakan pada papan-papan tanda perniagaan.

Disamping itu,antara faktor lain berlaku kepincangan komunikasi yang berkesan ialah kekeliruan terhadap struktur bahasa seperti binaan ayat, klausa, frasa dan binaan perkataan.Kesalahan konsep merujuk kepada kesalahan menganggap dan memahami konsep yang didukung sehingga menyebabkan kesalahan bahasa. Antara kesalahan yang kerap dilakukan ialah pada kesalahan frasa nama khas, hukum D-M iaitu diterang dan menerang seperti Muthu Kedai Makan dan bukannya Kedai Makan Muthu. 

Kesimpulannya, faktor pengaruh seperti pendidikan, pekerjaan, kelas sosial dan umur dalam kalangan penutur atau pengguna Bahasa Melayu, tiada tapisan dalam memastikan penggunaan dan penguatkuasaan Bahasa Melayu selari dengan perlembagaan Malaysia dan kekeliruan terhadap struktur bahasa seperti binaan ayat, klausa, frasa dan binaan perkataan merupakan antara faktor berlakunya kepincangan komunikasi pada papan-papan tanda perniagaan di Malaysia.

FACEBOOK SEBAGAI WADAH UNTUK BERPOLITIK DALAM KALANGAN MAHASISWA


Facebook, mungkin dikenali sebagai laman muka buku dalam kalangan masyarakat Malaysia dan mahasiswa merupakan medium media sosial serta komunikasi yang signifikan pada abad ini. Penyampaian maklumat yang efektif, merentasi masa, sempadan dan latar belakang individu menarik minat pengguna dan diberi jolokan media paling berpengaruh pada abad ini. Berpolitik dalam kalangan mahasiswa bukanlah sesuatu yang baharu namun cara penggunaan dalam berinteraksi antara masyarakat melalui laman muka buku merupakan perkara yang menarik untuk dibincangkan.

Mahasiswa didefinisikan sebagai satu kelompok terpelajar dan peka dengan isu semasa, menuntut di Universiti Awam (UA) atau di Universiti Swasta (US). Namun, beberapa sekatan undang-undang seperti Akta AUKU dan kekangan pihak kerajaan, institusi pendidikan tinggi menghalang mahasiswa dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, pandangan terhadap pembangunan negara dan sebagai medium untuk menonjolkan diri di mata masyarakat umum.

Antara faktor media sosial menjadi pilihan untuk berpolitik dalam kalangan mahasiswa adalah kerana Facebook merupakan agen penyampai maklumat yang berkesan. Latar belakang media sosial ini yang mempunyai susunan menarik, mesra pembaca disamping boleh mencipta halaman khusus untuk menarik sokongan penyokong dan masyarakat umum. Hal ini akan memudahkan pergerakan mahasiswa dan memantapkan perjalanan sesuatu organisasi politik. Selain itu, mahasiswa mampu membina jaringan yang luas dalam menyampaikan maklumat berbanding kaedah konvensional seperti rapat umum dan ceramah. Mahasiswa mampu menarik sokongan ramai masyarakat dan mahasiswa kerana medium ini merupakan medium utama dalam mendapatkan maklumat.

Disamping itu, maklumat-maklumat semasa lebih mudah untuk didapati dalam medium ini dengan pantas. Isu-isu semasa merentasi politik, ekonomi dan sosio masyarakat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mudah didapati hanya di hujung jari berbanding kaedah konvensional seperti surat khabar. Mahasiswa akan menjadi peka terhadap isu semasa, menggunakan sepenuhnya manfaat yang ada pada media sosial ini. Sebagai contoh, serangan Israel terhadap palestin merupakan satu isu kemanusiaan, mahasiswa menggunakan medium ini untuk mewar-warkan kekejaman Israel dan memboikot produk Israel. Hal ini meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keberkesanan mahasiswa dalam berpolitik dalam medium sosial ini.

Kesimpulannya, Facebook telah terbukti keberkesanannya dalam menyampaikan maklumat merentasi sempadan, budaya dan latar belakang. Manfaatnya sebagai agen penyampai maklumat yang berkesan, jaringan pengguna yang luas, maklumat yang mudah diakses serta jimat kos merupakan sebab kepada mahasiswa untuk menggunakan medium ini dalam berpolitik. Namun, medium ini mampu menjadi senjata yang berbahaya jika mahasiswa tidak mempunyai rasa tanggungjawab dalam berpolitik secara sihat.

Tuesday 15 March 2016

PERANAN KERAJAAN DALAM MENINGKATKAN TARAF CELIK ICT DALAM KALANGAN PELAJAR DI MALAYSIA



Fenomena ICT amat ketara pada tahun 1980 an dengan perkembangan globalisasi, mencetuskan 
pengenalan pelbagai gajet-gajet elektronik seperti gajet elektronik, mel elektronik, kemudahan telesidang, cakera video dan pelbagai teknologi multimedia yang lain. Pendidikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memainkan peranan yang penting agar Malaysia mampu menjadi negara maju dan melaksanakan ekonomi berasaskan pengetahuan (k-ekonomi). Usaha menyerapkan ICT ke dalam sektor pendidikan akan dapat menghasilkan golongan pelajar yang bijak komputer dan seterusnya menjadi penyumbang kepada pembangunan ekonomi di masa depan. Ia merupakan titik peralihan yang kritikal dalam pendidikan di negara ini apabila ICT disepadukan ke dalam kurikulum pendidikan,memandangkan keperluannya dalam persekitaran pekerjaan masa kini.

Bagi merealisasikan Wawasan 2020, kerajaan telah melancarkan pelbagai dasar, inisiatif, program dan projek bagi menggiatkan penggunaan dan pembangunan ICT yang secara tidak langsung dapat memanfaatkan golongan pelajar dan belia. Agenda IT Negara (National IT agenda-NITA) dilancarkan pada 1996 dengan tujuan membuka peluang seluas-luasnya kepada masyarakat mengakses infrastruktur dengan saksama terutamanya golongan pelajar. Pelancaran agenda dilancarkan dengan harapan masyarakat berteraskan agrarian dapat ditransformasikan kepada masyarakat bermaklumat dan kemudiannya menjadi masyarakat berilmu dan madani. Pada dasarnya NITA  bertujuan untuk mengubah negara ke arah sebuah masyarakat bermaklumat yang berasaskan nilai selaras dengan Wawasan 2020 dengan penumpuan kepada pembangunan manusia secara menyeluruh,menggerakkan kerjasama dan persepakaran tiga sektor iaitu di antara sektor awam, swasta dan komuniti dengan pendekatan "topdown" dan "bottom-up" di dalam perancangan dan  pelaksanaan.

Melalui pengenalan program ini, NITA telah mengenalpasti tiga komponen strategik utama iaitu pembangunan insan, pembangunan infrastruktur, pembangunan aplikasi dan kemahiran.  Hasrat murni kerajaan dengan harapan memberi peluang kepada masyarakat melalui peluang mobiliti sosial melalui pendidikan berteraskan ICT untuk meningkatkan peluang untuk mendapatkan akses pendidikan kepada golongan pelajar. Beberapa program yang dicadangkan untuk meningkatkan taraf celik ICT dalam kalangan pelajar seperti menyediakan perkhidmatan internet di semua sekolah luar dan dalam bandar, membina universiti multimedia,menyediakan program asas pendidikan computer kepada golongan pelajar dan program pendidikan jarak jauh elektronik untuk golongan yang ingin mendapatkan akses pendidikan melalui ICT.  Kewujudan sekolah-sekolah bestari membuktikan keberkesanan usaha kerajaan dalam meningkatkan taraf celik ICT dalam kalangan pelajar di Malaysia.

Harfiahnya, cetusan idea yang bernas oleh negarawan Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan tinggalan yang berharga untuk generasi kini dan seharusnya diteruskan agenda ini untuk memastikan Malaysia sebagai negara maju dalam bidang penerokaan ICT dan masyarakat mampu berbangga apabila Malaysia mampu mencipta inovasi yang tertera pada barangan iaitu "Buatan Malaysia".