Wednesday, 27 April 2016

ISU MORFOLOGI DALAM PENGGUNAAN PAPAN TANDA PERNIAGAAN

Perkembangan ekonomi telah merancakkan kewujudan pelbagai jenis perniagaan, dari sektor perkhidmatan, perladangan, kesihatan dan makanan. Dalam kerancakan dan pertumbuhan perniagaan-perniagaan yang semakin rancak kini, aktiviti promosi juga semakin berkembang seiring dengan perniagaan yang dijalankan. Papan-papan tanda diletakkan dihadapan premis-premis perniagaan sebagai identiti kepada sesebuah perniagaan untuk masyarakat mengetahui kewujudan perniagaan tersebut. Bahasa Melayu memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada penggunaan bahasa pada papan-papan tanda perniagaan, sekaligus selari dengan salah satu dasar bahasa kebangsaan antara fungsi bahasa Melayu dalam komunikasi dalam bentuk iklan, nama, pengumuman dalam media cetak dan elektronik. Namun, kesalahan komunikasi dalam penggunaan bahasa atau morfologi dalam papan tanda perniagaan dilihat semakin membimbangkan dan menjejaskan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Antara faktor berlaku kepincangan komunikasi dalam morfologi di papan-papan tanda perniagaan adalah disebabkan pelbagai ragam bahasa yang digunakan menurut konteks tertentu oleh pengguna tertentu disebabkan pengaruh seperti pendidikan, pekerjaan, kelas sosial dan umur. Istilah penggunaan bahasa yang betul dan bahasa yang salah bergantung kepada pengguna yang terikut-ikut dengan dialek bahasa penutur Bahasa Melayu. Sebagai contoh, penggunaan frasa ayat yang terbalik seperti "24 Jam Klinik Ah Chong " dan tidak mengutamakan bahasa kebangsaan dalam papan kenyataan seperti " Nyanyang Medicine and Trading ".

Pencemaran bahasa turut berlaku apabila tiada tapisan dalam memastikan penggunaan dan penguatkuasaan Bahasa Melayu selari dengan perlembagaan Malaysia. Bahasa yang digunakan dalam iklan-iklan media elektronik dan sosial adalah bahasa pasar dan mencemarkan kewibawaan Bahasa Melayu. Penggunaan bahasa yang ringkas, bahasa rojak dengan alasan memudahkan komunikasi antara sumber dan penerima dalam linkungan luas di televisyen dan radio, mempengaruhi masyarakat untuk menutur bahasa tidak formal dan menggunakan pada papan-papan tanda perniagaan.

Disamping itu,antara faktor lain berlaku kepincangan komunikasi yang berkesan ialah kekeliruan terhadap struktur bahasa seperti binaan ayat, klausa, frasa dan binaan perkataan.Kesalahan konsep merujuk kepada kesalahan menganggap dan memahami konsep yang didukung sehingga menyebabkan kesalahan bahasa. Antara kesalahan yang kerap dilakukan ialah pada kesalahan frasa nama khas, hukum D-M iaitu diterang dan menerang seperti Muthu Kedai Makan dan bukannya Kedai Makan Muthu. 

Kesimpulannya, faktor pengaruh seperti pendidikan, pekerjaan, kelas sosial dan umur dalam kalangan penutur atau pengguna Bahasa Melayu, tiada tapisan dalam memastikan penggunaan dan penguatkuasaan Bahasa Melayu selari dengan perlembagaan Malaysia dan kekeliruan terhadap struktur bahasa seperti binaan ayat, klausa, frasa dan binaan perkataan merupakan antara faktor berlakunya kepincangan komunikasi pada papan-papan tanda perniagaan di Malaysia.

No comments:

Post a Comment