Facebook, mungkin dikenali sebagai laman muka buku dalam kalangan masyarakat Malaysia dan mahasiswa merupakan medium media sosial serta komunikasi yang signifikan pada abad ini. Penyampaian maklumat yang efektif, merentasi masa, sempadan dan latar belakang individu menarik minat pengguna dan diberi jolokan media paling berpengaruh pada abad ini. Berpolitik dalam kalangan mahasiswa bukanlah sesuatu yang baharu namun cara penggunaan dalam berinteraksi antara masyarakat melalui laman muka buku merupakan perkara yang menarik untuk dibincangkan.
Mahasiswa didefinisikan sebagai satu kelompok terpelajar dan peka dengan isu semasa, menuntut di Universiti Awam (UA) atau di Universiti Swasta (US). Namun, beberapa sekatan undang-undang seperti Akta AUKU dan kekangan pihak kerajaan, institusi pendidikan tinggi menghalang mahasiswa dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat, pandangan terhadap pembangunan negara dan sebagai medium untuk menonjolkan diri di mata masyarakat umum.
Antara faktor media sosial menjadi pilihan untuk berpolitik dalam kalangan mahasiswa adalah kerana Facebook merupakan agen penyampai maklumat yang berkesan. Latar belakang media sosial ini yang mempunyai susunan menarik, mesra pembaca disamping boleh mencipta halaman khusus untuk menarik sokongan penyokong dan masyarakat umum. Hal ini akan memudahkan pergerakan mahasiswa dan memantapkan perjalanan sesuatu organisasi politik. Selain itu, mahasiswa mampu membina jaringan yang luas dalam menyampaikan maklumat berbanding kaedah konvensional seperti rapat umum dan ceramah. Mahasiswa mampu menarik sokongan ramai masyarakat dan mahasiswa kerana medium ini merupakan medium utama dalam mendapatkan maklumat.
Disamping itu, maklumat-maklumat semasa lebih mudah untuk didapati dalam medium ini dengan pantas. Isu-isu semasa merentasi politik, ekonomi dan sosio masyarakat Malaysia dan masyarakat antarabangsa mudah didapati hanya di hujung jari berbanding kaedah konvensional seperti surat khabar. Mahasiswa akan menjadi peka terhadap isu semasa, menggunakan sepenuhnya manfaat yang ada pada media sosial ini. Sebagai contoh, serangan Israel terhadap palestin merupakan satu isu kemanusiaan, mahasiswa menggunakan medium ini untuk mewar-warkan kekejaman Israel dan memboikot produk Israel. Hal ini meningkatkan kesedaran masyarakat tentang keberkesanan mahasiswa dalam berpolitik dalam medium sosial ini.
Kesimpulannya, Facebook telah terbukti keberkesanannya dalam menyampaikan maklumat merentasi sempadan, budaya dan latar belakang. Manfaatnya sebagai agen penyampai maklumat yang berkesan, jaringan pengguna yang luas, maklumat yang mudah diakses serta jimat kos merupakan sebab kepada mahasiswa untuk menggunakan medium ini dalam berpolitik. Namun, medium ini mampu menjadi senjata yang berbahaya jika mahasiswa tidak mempunyai rasa tanggungjawab dalam berpolitik secara sihat.
No comments:
Post a Comment